Mengingati masa sama juga seperti mengembalikan ingatan pada masa yang
lalu, masa yang telahpun berlalu, ditinggalkan, meninggalkan dan kemudiannya
diberi nama kenangan. Masa pasti tidak akan berulang, tidak mungkin akan
dikembalikan. Biarlah masa dengan ceritera tugasnya. ”Demi masa, sesungguhnya
manusia itu benar-benar berada dalam kerugian..” Surah Al-’Asr
Terkurung bersama masa bukan bererti masa itu turut terkurung, tetapi
membiarkan masa tanpa diisi dengan pekara-perkara berfaedah dan sesungguhnya
orang itu yang paling rugi. Khilafnya aku menghargai masa lalu lebih daripada
masa yang akan datang. Kerana masa lalu mencorakkan masa depan aku. Itu yang
paling aku ralatkan..
Diluar bilik, kedengaran suara ibu yang sedang mengarang kata-kata panjang
tentang sikap tidak bertangungjawab penghuni rumah arwah ini. Seringkali
kata-kata panjang yang sama diulang. Pasti mereka juga jemu mendengarnya
tetapi.. menjadi kebiasaan pada ibu dan mereka tidak terkecuali aku. Tidak ada
kesah atau cerita tanpa mereka-mereka sekiranya tidak ada yang perlu ibu
suarakan tentang ketidakpuasan hati terhadap anak cucunya.
Aku kembali melayani perasaan. Kurasakan sekeliling hilang bunyi, sunyi dan
sepi. Tidak pula kedengaran
cengkerik mengukur suhu malam, suara-suara sumbang katak memanggil hujan, sepi
hingga tidak kedengaran apa pun. Pasti
ibu juga sedang asyik dengan zikirnya. Mereka pasti hanyut dengan dunia
sendiri. Waktu magrib sememangnya singkat tetapi waktu itu yang sunyi dari
sebarang bunyi menghairankan. Seperti tidak ada sesiapa, seperti satu ruang
yang kosong. Tidak seperti waktu seketika dulu.
Seketika dulu yang solat hanya berlaku apabila rasa ada ruang dan ketika,
masa begitu pantas dan kadang-kadang aku kepenatan sendirian mengejar masa dan
lebih banyak masa yang terbuang dari masa yang aku gunakan untuk sesuatu yang
berfaedah. Ketika itu, aku seperti manusia yang hanya hidup pada dunia. Leka
dengan keseronokan. Sekeliling aku bagaikan pasar malam, hingar dengan suara-suara
yang tak dapat aku kecam.
No comments:
Post a Comment